Gunung Hindu Kush

Hindu Kush ialah banjaran gunung yang ketara dengan kebanyakan puncak berada pada ketinggian antara 4,400 dan 5,200 meter dan ada yang lebih tinggi. Gunung-ganang Hindu Kush menjadi rendah apabila semakin ke barat. Di kawasan barat, yakni berdekatan Kabul, gunung-ganang mencapai ketinggian 3,500 ke 4,000 meter manakala di timur, ketinggian gunung-ganang mencapai 4,500 ke 6,000 meter. Ketinggian purata Hindu Kush ialah 4,500 meter.[17] Pergunungan ini mengalami ribut salji yang lebat.

Laluan pergunungan yang terendah ialah laluan Shibar Selatan pada ketinggian 2,700 meter, tempat banjaran berakhir. Lazimnya, laluan-laluan pergunungan lain berada pada ketinggian melebihi 3,700 meter dan boleh dilalui ketika akhir musim bunga dan sepanjang musim panas.[18]

Pelbagai laluan pergunungan melalui pergunungan ini lalu membentuk jaringan strategik kepada pengguna karavan. Laluan terpenting ialah Laluan Salang pada ketinggian 3,878 meter yang menghubungkan Kabul ke utara Afghanistan. Sebuah terowong telah dibina pada 1964 di laluan ini lalu membolehkan tempoh perjalanan sepanjang laluan ini disingkatkan. Terowong ini, Terowong Salang dibina dengan bantuan kewangan dan teknologi Soviet. Terowong ini kini berada di kawasan konflik bersenjata, dengan pelbagai pihak ingin mendapatkan kawalan terhadap terowong ini.[19]